Monday, November 17, 2008

HAJI MABRUR TANDA PENGABDIAN SUCI


MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH


Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan erti kata yang sebenarnya dalam melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua akan beroleh kerahmatan di dunia dan di akhirat. Mimbar jumaat hari ini ingin memperkatakan tentang ibadah haji dan kelebihan haji mabrur sesuai dengan musim haji pada waktu ini.


Ibadat haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan. Ia berbeza dengan ibadah-ibadah lain seperti solat dan puasa. Selain memerlukan kekuatan fizikal dan mental, ia juga memerlukan kepada pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, berpisah dengan keluarga tercinta, sanak saudara, sahabat handai, meninggalkan kampung halaman, menahan kemahuan nafsu dan sebagainya. Firman Allah S.W.T di dalam surah Ali 'Imran, ayat 97:


Maksudnya: "Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliannya; di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah. Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk".


Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah S.W.T. dengan memperolehi haji yang mabrur.


Haji mabrur adalah haji yang diterima oleh Allah S.W.T. seiring dengan peningkatan amal ibadat seseorang setelah menunaikan ibadat haji tersebut. Haji mabrur ini merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut. Lebih-lebih lagi, ibadat haji menjanjikan ganjaran yang sangat besar daripada Allah S.W.T. di akhirat kelak.


Sabda Rasulullah S.A.W di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:


Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a, Bahawasanya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: "Satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa, dan haji mabrur (diterima) amalannya, tidak dibalas baginya melainkan dengan Syurga".


Oleh itu, ganjaran besar ibadat haji ini tidak memungkinkan seseorang itu mencapainya dengan begitu mudah. Sebaliknya kita perlu mengharungi berbagai-bagai kesukaran dan cabaran di samping memerlukan kekuatan iman dan taqwa.


Imam Nawawi mengatakan bahawa orang yang mendapat haji mabrur ialah orang yang tidak mencampur adukkan amalan dan tindakan dalam kehidupan seharian serta ibadahnya dengan sesuatu perkara yang berdosa selepasa melaksanakan ibadah haji.


Persoalan besar yang ingin diutarakan di sini ialah bagaimana untuk mencapai haji mabrur tersebut? Pada prinsipnya, haji mabrur boleh dicapai dengan melaksanakan beberapa amalan. Diantaranya ialah; Pertama: Ibadat haji yang dilaksanakan itu hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T. dan tidak riak atau menunjuk-nunjuk serta berbangga-bangga kepada orang lain. Kedua: Semua perbelanjaan haji adalah daripada sumber yang halal. Ketiga: Melakukan rukun dan fardhu haji dengan memenuhi syarat dan sempurna. Keempat: Melakukan ibadat haji dengan taat, jujur dan ikhlas. Dan kelima: Beristiqamah dengan terus menerus mengamalkan perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dalam kehidupan seharian.


Perkara yang sering menjadi isu dalam masyarakat ialah terdapat di kalangan jemaah haji yang tingkah laku mereka tidak berubah, masih mengekalkan tabiat akhlak yang bercanggah dengan ajaran Islam. Di antara punca utama mereka tidak mendapat haji mabrur ini ialah kerana masih melakukan maksiat, mengamalkan rasuah, salahguna kuasa, tidak amanah, tidak mempunyai integriti dan sebagainya. Hakikatnya, kejayaan mencapai haji mabrur berkait rapat dengan keimanan seseorang kepada Allah S.W.T. Berdasarkan pemerhatian, terdapat pertalian yang kuat bahawa mereka yang taat melaksanakan amal ibadah seperti sembahyang, puasa dan zakat mendorong mereka akan mendapat haji mabrur. Demikianlah bahawa kualiti iman seseorang akan menentukan tahap amal ibadah seseorang.


Ibadat haji hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup bagi seseiapa yang mampu. Walau bagaimanapun, rukun Islan inilah yang sering diabai dan dilupakan oleh segelintir umat Islam. Firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Hajj, ayat 27:


Maksudnya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nascaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh".


Ibadat haji boleh dikerjakan berulang kali bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan dan cukup syarat-syaratnya. Walau bagaimanapun, menurut ulama ibadah haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumar hidup berdasarkan dari hadis Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Ahmad.


Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W. telah bersabda di dalam khutbahnya: "Wahai sekalian manusia! Sesunggunya Allah telah mewajibkan kepada kamu haji. Oleh itu, kerjakanlah ibadat haji. Seorang lelaki bertanya: "Adakah (dikerjakan haji) pada setiap tahun?" Baginda diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebayak tiga kali, selepas itu barulah Baginda menjawab dan bersabda: "Jika aku katakan "ya", nascaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berdaya melakukannya. Kemudian Baginda menjawab lagi: "Peliharalah apa yang telah aku tinggalkan kepada kamu. Sesungguhnya ia telah banyak membinasakan orang-orang sebelum kamu disebabkan pertanyaan mereka dan menyalahkan Nabi-Nabi mereka. Sekiranya aku memerintahkan sesuatu, maka kamu ambillah (sekiranya kamu mampu) dan apabila aku melarang daripada melakukanya, maka kamu tinggalkanlah".

Berdasarkan hadis di atas, ulama' telah sepakat mengatakan bahawa ibadat haji wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup. Jika dikerjakan berulang kali, maka haji yang kedua dan seterusnya itu dikira sunat.

Ulama' juga telah sepakat mengatakan bahawa ibadat haji tidak wajib dikerjakan dengan bersegera. Walau bagaimanapun, sunat tidak melambatkan ibadat tersebut bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan dan telah cukup syarat-syarat yang diwajibkan kepadanya. Bagi yang mempunyai kemampuan, janganlah ditangguhkan lagi. Janganlah ditunggu ke hari tua. Bersegera dalam membuat amal kebajikan itu adalah suatu perkara yang dituntut oleh Islam sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Maidah, ayat 48:


Maksudnya: "Oleh itu berlumba-lumbalah (bersegera) kamu membuat amal kebajikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kepada kamu apa yang kamu berselisihan padanya.”


MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH


Satu lagi persoalan besar timbul dalam masyarakat Islam ialah terdapat sebilangan umat Islam yang kaya dan berkemampuan berulang kali menunaikan fardhu haji dengan menghabiskan perbelanjaan yang besar. Ketika mengulas isu ini, seorang ulama' terkenal iaitu Dr. Syeikh Yusof Qardawi mengatakan bahawa adalah lebih afdhal wang ringgit itu dibelanjakan di jalan Allah S.W.T, bersedekah, membantu untuk urusan dakwah atau membayar zakat dan menjelaskan hutang sesama manusia.


Beliau juga menjelaskan bahawa lebih baik kita memberi peluang kepada orang lain menunaikan ibadat haji daripada kita terus menunaikannya berulang kali kerana menjaga kepentingan dan mengelakkan kesulitan serta kesesakan kepada jemaah haji di Tanah suci Mekah. Ingatlah! menutup pintu kerosakan lebih baik daripada melakukan kebaikan.

Di samping itu juga, ibadat itu tidaklah terhad, malah ianya meliputi ibadah wajib dan sunat. Kenapa kita hanya tertumpu untuk menunaikan ibadah haji ini berulang kali? Sedangkan kita membiarkan golongan fakir miskin, saudara mara atau jiran hidup di dalam kesusahan. Sebenarnya, bersedekah atau memberi sumbangan menjadi satu kewajipan kepada orang kaya membantu golongan-golongan tersebut yang dalam kesusahan.


Selain itu juga, adalah lebih baik kita menginfaqkan wang ringgit untuk tujuan kebajikan seperti membina sekolah-sekolah agama, institusi-institusi pendidikan Islam, membantu negara-negara Islam yang susah dan sebagainya. Sebaliknya, janganlah kita berusaha membantu musuh-musuh Islam yang cuba menghancurkan agama Islam dan umatnya. Kesediaan orang kaya dan yang berkemampuan membantu golongan-golongan yang susah adalah bukti kekuatan iman seseorang yang sanggup mengorbankan harta kesayangan demi kepentingan Islam dan umatnya di seluruh dunia.


Namun, kesemuanya itu bergantung kepada niat seseorang dan sesungguhnya melakukan amal kebaikan lain adalah lebih baik daripada menunaikan ibadat haji berulang kali kerana manfaatnya sentiasa berpanjangan dan untuk kebaikan orang ramai khususnya umat Islam, di samping mendapat pahala yang sangat besar daripada Allah S.W.T di akhirat kelak.


Maksudnya: "Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan ibadat haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidil Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum jemaah haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan merka itulah orang-orang yang berjaya".


0 comments: